Penswastaan ditangguhkan Institut_Jantung_Negara

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid menyatakan cadangan pengambilalihan IJN oleh Sime Darby akan mengekalkan khidmat sosial perubatan jantung kepada golongan miskin.[1] Penswastaan ini bukan pengambilalihan sebuah syarikat perniagaan tetapi merupakan perkongsian dengan melibatkan 51 peratus pegangan ekuiti.[2]Syarikat perladangan Sime Darby mahu membayar harga premium melebihi penilaian hospital biasa sebanyak 16 kali nisbah harga kepada pendapatan (PE) memandangkan IJN merupakan pusat pakar jantung terkenal di rantau ini.

Bantahan diterima daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) , Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan (TWU) dan Tun Dr Mahathir Mohamad. Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menerima rawatan jantung di IJN.[3] Perunding perubatan IJN pula menyangkal persepsi bahawa cadangan penswastaan ini ekoran tuntutan kakitangan perubatannya untuk mendapat upah yang tinggi. Hanya 7 daripada 35 perunding meninggalkan IJN untuk bekerja di pusat swasta di dalam atau di seberang laut sejak 1992.[4]

Akhirnya pada 19 Disember 2008, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan kabinet memutuskan untuk menangguhkan penswastaan IJN ini kerana faktor masa , situasi dan kondisi yang tidak sesuai. Kajian lanjut akan dilakukan oleh Kementerian Kewangan , Kementerian Kesihatan dan Unit Perancang Ekonomi. [5]